Senarai Mantan YDP

MANTAN-MANTAN YANG DIPERTUA GIBS

HAJI ABD LATIFF BIN MOHD ARIPPIN, SMS, PJK

TAHUN BERKHIDMAT: 1986 - 1988

Allahyarham Haji Abd Latiff Bin Mohd Arippin dilahirkan pada 26 Mac, 1934, di Kajang, Selangor. Beliau berkelulusan Cambridge School dan Sijil Pengurusan Perniagaan dari University of Texas, Dallas, USA.

Semasa hayatnya, beliau pernah bertugas di beberapa Jabatan Kerajaan Persekutuan seperti Kementerian Pelajaran , Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia sebelum bersara dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Beliau menjadi ahli dan bergiat aktif dalam persatuan-persatuan dan badan-badan NGO. Beliau bersama rakannya, Dr. Mohammed Noor Bin Hashim mengasaskan penubuhan Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor, (GIBS) pada tahun 1986.

Haji Abd Latiff Bin Mohd Arippin dilantik sebagai Yang Dipertua GIBS yang pertama bagi tempoh 1986 hingga 1988. Beliau bersama rakannya, telah berusaha mendapatkan sokongan dari Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu pertubuhan ini berkembang dan kukuh sebagai sebuah badan persatuan yang menjadi 'payung' kepada golongan profesional dan usahawan bumiputera Selangor.

Allahyarham meninggal dunia 21 April, 2010 pada usia 76 tahun kerana sakit tua.

DR. MOHAMMED NOOR BIN HASHIM, ASA

TAHUN BERKHIDMAT: 1988 - 1990

Dr. Mohammed Noor Bin Hashim dilahirkan pada 20 Februari, 1944 di Sabak Bernam, Selangor. Beliau dipilih sebagai Yang Dipertua GIBS yang kedua bagi tempoh dua tahun dari 1988 hingga 1990. Beliau adalah salah seorang pengasas penubuhan GIBS pada tahun 1986.

Beliau adalah lulusan Diploma Kejuruteraan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), memiliki ijazah M.Sc, dan Ph.D, Microwave and Electronics Communication daripada University of Manchester, England. Beliau adalah anak Selangor yang pertama mendapat kelulusan Ph.D dalam bidang kejuruteraan.

Beliau merupakan ahli dalam beberapa badan profesional seperti Institute of Engineers Malaysia (M.I.E.M.), Institute of Electrical Engineers England, United Kingdom (M.I.E.E.E.) dan badan-badan profesional lain yang berkaitan. Beliau juga pernah dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor Daru Ehsan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada tahun 1980 hingga 1983. Beliau pernah dilantik sebagai Lembaga Pengarah dalam beberapa buah syarikat dan sekarang aktif dalam bidang perniagaan, syarikat perunding milik beliau iaitu Kemasrunding Sdn. Bhd.

Sepanjang tempoh pimpinan beliau sebagai yang Dipertua, beliau telah berusaha untuk menyatu padukan golongan profesional Melayu Selangor supaya boleh menjadi pakar rujuk dalam berbagai bidang kepakaran kepada kerajaan dan turut menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan Negeri Selangor. Usaha proaktif beliau bertujuan membantu ahli-ahli profesional dan usahawan GIBS memperkasakan diri setanding dengan bangsa-bangsa lain.

DATO' DR. HAJI MOHD KARIM BIN HAJI ABDULLAH OMAR, JP, DPMT, DSSA, KMN, SMS, SMT

TAHUN BERKHIDMAT: 1990 - 2004

Dato' Dr. Hj. Mohd Karim Bin Haji Abdullah Omar dilahirkan di Klang, Selangor pada 2 Februari, 1946. Beliau berkelulusan Bachelor of Arts (Hons) dari Universiti Malaya pada tahun 1969, Diploma in Personnel Management, University of Hartford, USA dan dikurniakan Honorary Doctorate In Business Management, Universiti UCSI pada tahun 2009.

Sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik Malaysia, beliau telah berkhidmat di beberapa jabatan dan kementerian antaranya sebagai Penolong Setiausaha Pentadbiran Kementerian Kesihatan Malaysia, Ketua Penolong Setiausaha Perjawatan Kementerian Pendidikan, Pengarah Bahagian Kewangan Kementerian Penerangan, Timbalan Pengarah Perjawatan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu dan jawatan terakhir sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dari tahun 1986 hingga 1990.

Beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah beberapa syartikat awam yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Sekarang beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah di Universiti UCSI, Pengerusi Eksekutif dan Pengerusi beberapa syarikat lain.

Beliau telah memimpin GIBS selama hampir 15 tahun dari tahun 1990 hingga 2004. Semasa beliau berkhidmat dengan Kerajaan Selangor, GIBS diberi peluang untuk menyumbang kepakaran melalui pelantikan dan penyertaan ahli-ahli profesional GIBS dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri dan di peringkat kerajaan tempatan.

Latar belakang dan pengalaman beliau dalam bidang pembangunan telah membawa GIBS sebagai sebuah pertubuhan yang mantap dengan kedudukan kewangan yang kukuh hasil pembangunan hartanah yang telah diceburi oleh GIBS. GIBS telah menceburi bidang-bidang pelaburan yang lain seperti pembelian saham, pembelian tanah dan rumah-rumah kedai, perniagaan dan pertanian bertujuan memperkukuhkan lagi sumber kewangan GIBS. Dalam semua aktiviti-aktiviti pembangunan dan pelaburan GIBS ini, beliau mengambil kira pandangan dan kepentingan ahli-ahli. Ramai ahli-ahli mendapat peluang hasil pembangunan dan turut menyumbang dalam aktiviti-aktiviti pendidikan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh GIBS.

HAJI TAKRIL BIN TASUKI, SMS, ASA, PPT

TAHUN BERKHIDMAT: 2004 - 2010

Haji Takril Bin Tasuki dilahirkan pada 8 Ogos, 1954 di Tanjung Karang, Selangor. Beliau adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Geography (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan memiliki kelulusan peringkat Master (Town And Country Planning) UWIST, Cardiff, United Kingdom. Beliau bersara dari jawatan Pengurus Besar Yayasan Selangor, sebuah institusi pendidikan Kerajaan Negeri Selangor yang telah diterajuinya dari tahun 1998 hingga 2009. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar di Yayasan Kelana Ehsan.

Beliau dipilih sebagai Yang Dipertua GIBS yang keempat dan telah menerajui persatuan ini selama tiga penggal atau enam tahun dari tahun 2004 hingga 2010. Di bawah kepimpinannya, GIBS banyak melibatkan diri dengan pemimpin, agensi-agensi Kerajaan Selangor dan badan-badan bukan kerajaan untuk bekerjasama membantu masyarakat khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan usahawan dan dengan tujuan mewujudkan rangkaian dan jalinan kerja yang membantu pembangunan dan kemajuan ahli-ahli.

Sebagai langkah bagi menggiatkan lagi usaha GIBS dalam bidang pelaburan dan pembangunan, beliau telah mengusulkan penubuhan GIBS Consultancy Consortium Sdn Bhd pada tahun 2008 yang dikenali sebagi GIBS Consult yang berperanan sebagai one stop centre bagi perkhidmatan perunding profesional dalam berbagai bidang yang terdapat di kalangan ahi-ahli GIBS untuk mana-mana projek pembangunan.

Sebagai Yang Dipertua GIBS, beliau sering mengemukakan cadangan dan memberikan pandangan-pandangan melalui penulisannya yang turut dimuatkan dalam akhbar-akhbar harian tempatan.

HAJI HASHIM BIN HAJI SIBELIK, SMS, PJK

TAHUN BERKHIDMAT: 2010 - 2014

Haji Hashim Bin Haji Sibelik dipilih sebagai Yang Dipertua Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS) yang kelima mulai 27 Mac, 2010. Sebelum memegang jawatan sebagai Yang Dipertua, beliau telah memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua GIBS selama enam tahun dari tahun 2004 hingga 2010.

Beliau dilahirkan pada 1 Ogos, 1954, di Pulau Lumut, Pelabuhan Klang, Selangor. Pernah bertugas sebagai Pembantu Teknik Ukur di Jabatan Ukur Negeri Selangor pada tahun 1977 setelah lulus Diploma in Land Surveying dari UiTM, Shah Alam, Selangor. Pada tahun 1982, beliau menyambung pelajaran ke Western Australia Institute of Technology, Perth, Australia dan berjaya memperolehi Bachelor of Applied Science (Surveying & Mapping) pada tahun 1984.

Dengan pengalaman berkhidmat dengan sebuah syarikat Perunding Jurukur selama sepuluh tahun, akhirnya beliau ditauliahkan sebagai Jurukur Tanah Berlesen dan menubuhkan Jurukur Hashim Serantau (Perunding Ukur dan Pembangunan Tanah Berlesen). Beliau juga bergiat aktif dalam badan-badan Jurukur Malaysia (ISM), Persatuan Jurukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) dan Lembaga Jurukur Tanah Semenanjung Malaysia.

Haji Hashim melibatkan diri dalam GIBS sejak tahun 1986 dan telah mula aktif sebagai ahli jawatankuasa GIBS sejak tahun 1994 lagi sehingga diberikan kepercayaan memimpin GIBS mulai tahun 2010 hingga 2014.

Daftar Ahli

Daftar Ahli »

Galeri GIBS

Layari Galeri GIBS »

Tanya dan Cadang

Tanya dan Cadang »

Pautan: