Sejarah Penubuhan

Sedikit coretan tentang penubuhan GIBS

Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor, Selangor (GIBS) telah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada 17 Jun 1986. Pada ketika itu, Negeri Selangor Darul Ehsan adalah di antara negeri yang paling pesat pembangunan ekonominya berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Kedudukannya yang strategik di kawasan Lembah Klang dan dengan kemudahan-kemudahan pelabuhan dan pengangkutan yang baik, Selangor menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara.

Kemakmuran Negeri Selangor menggamit ramai masyarakat luar datang berhijrah ke Negeri Selangor Darul Ehsan untuk merebut peluang-peluang perniagaan dan peluang-peluang pekerjaan yang terdapat di jabatan-jabatan kerajaan termasuk anak-anak syarikat miik kerajaan dan di sektor swasta. Ramai profesional dan usahawan Melayu Selangor mendapati mereka terpinggir daripada kepesatan pembangunan di negeri ini.

Beberapa orang profesional Melayu Selangor ketika itu menyedari akan peluang-peluang perniagaan yang boleh mereka manfaatkan daripada kemakmuran ekonomi negeri ini. Mereka juga terpanggil untuk turut melibatkan diri dan menyumbang kepada pembangunan kemajuan negeri kelahiran mereka, Selangor Darul Ehsan, khususnya sebagai pegawai-pegawai kanan dalam perkhidmatan kerajaan dan anak-anak syarikat kerajaan.

Langkah awal ke arah pembentukan sebuah badan yang boleh menggabungkan para usahawan dan profesional Melayu Selangor ini dimulakan oleh mereka yang mengasaskan penubuhan ini. Di antara mereka ialah Allahyarham Haji Abd. Latiff Bin Mohd Arippin, Dr. Mohammed Noor Bin Hashim dan dibantu oleh Haji Hashim Bin Abdullah serta beberapa orang ahli yang turut sama menaja penubuhan GIBS. Atas semangat untuk menyatukan para usahawan bumiputera rakyat Selangor, maka tertubuhlah Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor atau nama ringkasnya GIBS pada tahun 1986.

Daftar Ahli

Daftar Ahli »

Galeri GIBS

Layari Galeri GIBS »

Tanya dan Cadang

Tanya dan Cadang »

Pautan: